HANOI, 22 Mac — Vietnam mencapai persetujuan untuk mengiktiraf bersama “pasport vaksin” dengan 17 negara, lapor  Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik jurucakap Kementerian Luar Le Thi Thu Hang.

Negara-negara itu ialah Australia, Belarus, Kemboja, Mesir, India, Jepun, Maldives, New Zealand, Palestin, Filipina, Saint Lucia, Singapura, Korea Selatan, Sri Lanka, Turki, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Hang berkata setakat 17 Mac Vietnam telah mencapai kata sepakat mengenai perkara itu dengan 17 negara dan Kementerian Luar serta agensi perwakilan luar negara sedang aktif mengadakan rundingan untuk mempercepat pengiktirafan bersama “pasport vaksin” dengan negara dan wilayah lain.

Pemegang “pasport vaksin” dari negara yang tersenarai akan mendapat keperluan perubatan yang sama seperti rakyat tempatan termasuk pengecualian prosedur pengesahan konsular.

Selain itu, Vietnam setakat ini telah mengiktiraf sementara sijil vaksinasi COVID-19 dari 79 negara dan wilayah. 

Senarai “pasport vaksin” yang diiktiraf boleh didapati menerusi portal Jabatan Konsular Kementerian Luar di https://lanhsuvietnam.gov.vn.-VNA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here