GEORGE TOWN, 23 Mac — Sebanyak 996 kompaun dikeluarkan kepada orang ramai atas kesalahan merokok di tempat tidak dibenarkan, dalam operasi berterusan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang sejak 1 Jan hingga 20 Mac lepas.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri Datin Dr Azizah Abd Manan berkata tindakan kompaun itu, mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 kerana merokok di tempat larangan, dan Peraturan 12 PPKHT 2004 atas kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan.

Katanya jumlah kompuan atas kesalahan merokok di tempat larangan tersebut, merupakan tertinggi daripada keseluruhan 1,182 kompaun yang dikeluarkan JKN Pulau Pinang, dalam operasi bersepadu PPKHT 2004 sepanjang tempoh tersebut.

“Berdasarkan statistik, lokasi paling banyak orang ramai di kompaun kerana menghisap rokok ialah tempat makan, restoran dan kedai berhawa dingin, malah tindakan turut dikenakan terhadap perokok di pusat beli-belah serta lapangan terbang.

“Ada juga di kalangan perokok memberi alasan tidak tahu beberapa lokasi terutama di Tapak Warisan Dunia George Town, diwartakan sebagai kawasan larangan merokok,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di sini, hari ini.

Menurut Azizah berdasarkan jumlah kompaun itu, menunjukkan masih ramai dalam kalangan rakyat negeri ini tidak patuh dan mungkin tidak faham, tentang kepentingan larangan merokok di kawasan awam.

Sehubungan itu, katanya pihak JKN Pulau Pinang akan meneruskan operasi dan dalam masa sama mengadakan lebih banyak promosi kesedaran mengenai bahaya merokok, terutama membabitkan pelajar sekolah serta golongan muda.

“Operasi dijalankan bukan semata-mata memberi kompaun, sebaliknya pasukan penguat kuasa kami turut memberi nasihat tentang kepentingan larangan merokok di kawasan awam, kerana asap rokok tersebut turut memberi kesan kesihatan kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata pihaknya serius dalam menangani masalah merokok, terutama selepas pengumuman oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, bahawa akta baharu akan diperkenalkan bagi melarang aktiviti merokok serta pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape), terhadap generasi muda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here