JAKARTA, 2 April — Pelaksanaan memorandum persefahaman bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (MoU PDI) di Malaysia yang termeterai, perlu kerjasama berterusan Malaysia dan Indonesia.

MoU PDI yang ditandatangan kedua negara semalam (1 April) merupakan satu hari yang bersejarah memandangkan perjanjian itu telah tamat sejak 2016.

Hasil perbincangan intensif yang didorong Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan rakan sejawat Indonesia, Menteri Ketenagakerjaan Ida Fauziyah berjaya dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

Perkembangan terbaru ini menunjukkan Malaysia sentiasa komited untuk memastikan aspek pengambilan dan perlindungan pekerja khususnya warga Indonesia adalah sentiasa terjamin dan kebajikan mereka terpelihara.

Meskipun pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan One Channel System dipersetujui dua negara di dalam MoU, Malaysia hanya boleh memantau pekerja yang datang secara sah, kata Saravanan.

“Sekiranya mereka datang secara tidak sah melalui lorong tikus atau sebagai pelancong kemudian bekerja, susah untuk kita mengawalnya,” kata beliau.

Justeru, sokongan Jakarta dalam memastikan tiada pekerja yang masuk melalui sistem yang tidak sah amat diperlukan, Saravanan memahami perkara itu tidak dapat dikawal 100 peratus tetapi tindakkan lebih tegas dan efektif harus diambil.

“Kita telah membuktikan keikhlasan tetapi tidak boleh hanya bergantung kepada kita, negara-negara sumber turut memainkan peranan,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Butiran lain dalam MoU itu adalah kos membawa masuk PDI ditetapkan di bawah RM15,000 dan akan dikaji setiap tiga bulan serta pelaksanan sistem e-wages untuk pemantauan pembayaran gaji yang setiap majikan perlu membayar gaji sebelum 7 hari bulan setiap bulan.

Seorang PDI ditetapkan untuk berkhidmat bagi isi rumah tidak melebihi enam orang, caruman melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan yang terbaru, pelaksanaan kursus induksi untuk mendidik pekerja agar memahami hak mereka dan mengelakkan penganiayaan.

Pekerja juga dibekalkan aplikasi khas, Working for Workers yang membolehkan mereka menyuarakan aduan seperti tempat tinggal, makanan dan hak mereka, tanpa perlu hadir secara fizikal ke Pejabat Tenaga Kerja.

Saravanan turut menjelaskan Malaysia komited menangani isu termasuk Buruh Paksa dengan meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 21 Mac.

Sebagai ahli, Malaysia sentiasa mengambil langkah yang berkesan untuk mencegah dan menghapuskan penggunaan buruh paksa, memberikan perlindungan kepada mangsa, akses kepada remedi yang sesuai dan berkesan seperti pampasan serta menyekat pelaku buruh paksa.

“Ini menunjukkan Malaysia cukup komited untuk semua sektor, semua negara,” katanya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Jokowi yang mahu kesepakatan dalam MoU PDI dilaksanakan dengan baik dan berharap ia merangkumi sektor lainnya antara kedua negara.

“Di peringkat awal perbincangan dengan Indonesia, mereka kurang selesa. Tetapi hari ini Malaysia diyakini sebagai negara yang melindungi pekerja,” katanya.

Susulan MoU yang temeterai, Saravanan menjangkakan Indonesia akan menghantar 10,000 pekerja dalam masa sebulan, berkemungkinan selepas bulan puasa.

Satu jawatankuasa khas yang diketuai ketua setiausaha kementerian kedua-dua negara akan turut bermesyuarat tiga bulan sekali untuk memantau pelaksanaan MoU yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Merdeka.

Ismail Sabri dijangka berlepas pulang ke tanah air hari ini, menamatkan lawatan kerja di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here