JOHOR BAHRU, 1 April — Perkhidmatan bas henti-henti di antara Malaysia dan Singapura dijangka mula beroperasi pada 1 Mei ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata ketika ini, hanya 24 bas digunakan yang sebelum ini dikhaskan bagi Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) Darat manakala enam bas perantara untuk merentas sempadan.

Katanya perbincangan mengenai jumlah pengoperasian bas henti-henti sedang dilakukan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) dan keputusan mengenai perkara itu dijangka diumumkan dua minggu lagi.

Wee berkata buat masa ini, terdapat beberapa masalah yang perlu diselesaikan oleh pengusaha bas henti-henti antaranya penyelenggaraan dan pemeriksaan di Puspakom sebelum kembali beroperasi.

“Jadi untuk dua minggu ini, kita masih guna bas VTL. Dalam tempoh dua minggu ini juga, perkhidmatan bas dijangka beransur pulih dan mampu pulih sepenuhnya ke tahap sebelum COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura di Bangunan Sultan Iskandar.

Setakat 4 petang, beliau berkata sebanyak 4,435 kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura telah memasuki Malaysia dengan 2,835 kenderaan melalui Bangunan Sultan Iskandar manakala 1,600 lagi menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here