KUALA LUMPUR, 1 April — Selepas  dua tahun hidup dibayangi COVID-19, warga Malaysia kini boleh melihat ke hadapan untuk masa hadapan yang lebih cerah apabila negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula hari ini. 

Terima kasih di atas segala penat lelah dan usaha warga Malaysia dan kejayaaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Setakat semalam, 48.4 peratus daripada keseluruhan populasi di Malaysia sudah menerima dos penggalak mereka sementara 79 peratus lagi telah menerima dua dos vaksin dan 84.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Mengenai jumlah kes baharu kes COVID-19, negara terus merekodkan kes di bawah paras 20,000 untuk lima hari berturut-turut dengan 18,560 kes dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes kumulatif kepada   4,201,919.

Dari segi ekonomi, sentimen pelabur ke atas Fasa Peralihan ke Endemik memberikan kesan positif kepada pasaran dengan Bursa Malaysia kekal dengan aliran menaik pada tengah hari tadi dipacu oleh sektor perbankan dan produk pengguna serta perkhidmatan dengan pembukaan semula sempadan negara.

Pada  3.07 petang,  penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.19 mata kepada 1,593.55 daripada 1,587.36 mata ketika ditutup pada Khamis. Indeks barometer itu meningkat 0.93 mata kepada  1,588.29 ketika pasaran dibuka. 

Pembukaan pintu sempadan negara khususnya melibatkan jalan darat Johor-Singapura antara paling meriah sejak tengah malam tadi yang menyaksikan kepulangan rakyat negara ini terutamanya mereka yang mencari rezeki di negara seberang tambak itu, disambut tangisan kesyukuran, nyanyian Negaraku dan sorakan kegembiraan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula menjadi yang terawal menerima kemasukan pelancong antarabangsa melalui pengangkutan udara apabila pesawat Saudi Airlines yang turut membawa bersama jemaah umrah tempatan tiba kira-kira 1 pagi tadi.

Dengan pembukaan semula sempadan negara, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia akan memulihkan industri pelancongan dan Malaysia dijangka menarik ketibaan dua juta pelancong antarabangsa tahun ini dengan pendapatan pelancongan sekitar RM8.6 bilion. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata keadaan di semua pintu sempadan negara terkawal dengan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, kebanyakan masjid-masjid di seluruh negara juga hampir kembali kepada amalan biasa, mengingatkan para jemaah untuk merapatkan saf sebelum solat Jumaat bermula, susulan Fasa Peralihan Ke Endemik itu walaupun sesetengahnya hanya merapatkan sejadah dan bukannya kedudukan makmum yang bersolat.

Ini pastinya memberi khabar gembira buat umat Islam untuk menunaikan solat Tarawih di bulan Ramadan ini selepas terpaksa menjarakkan saf sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 Upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam juga boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Ramadan kali ini juga memberi peluang lebih luas kepada perniagaan terutamanya sektor makanan dan minuman kerana mereka dibenarkan membuka premis mereka mengikut waktu operasi seperti tertera dalam lesen operasi  bermakna kembalinya restoran dan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.

Selain itu semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka bermula hari ini.

Sungguhpun negara mencapai kejayaan dalam menghadapi pandemik, beberapa SOP masih perlu dipatuhi seperti memakai pelitup muka di tempat awam dan mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here