KUALA LUMPUR, 6 April — Perenang muda negara Arvin Shaun Singh Chahal mengintai peluang untuk melakar kejutan pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei ini.

Arvin yang akan beraksi pada acara 200 meter (m) individu medley lelaki, 4x100m dan 4x200m gaya bebas berganti-ganti, berkata beliau tidak sabar untuk mempamerkan renangan terbaiknya pada kemunculan kedua di temasya sukan itu selepas membuat penampilan sulung pada edisi 2019 di Filipina.

Atlet berusia 21 tahun itu berkata misi utamanya di Hanoi adalah untuk membantu kem renang negara memperbaiki pencapaian sebelum ini dengan memenangi pingat emas sebagai keutamaan.

“Saya rasa saya sudah kembali ke tahap terbaik kerana saya keluar masuk dengan kecederaan sejak dua tahun lepas, bagaimanapun saya menyasarkan untuk membawa pulang pingat emas untuk negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas mengenai cabaran dan saingan sengit yang menantinya terutamanya perenang dari Singapura dan tuan rumah, Arvin berkata beliau enggan memikirkan tentang pesaingnya, sebaliknya hanya mahu fokus pada tugasnya.

Beliau juga mengakui jarang menonton sebarang kejohanan renang bagi mengelakkan dirinya terganggu.

“Tugas saya adalah pergi ke sana dan bersedia untuk ‘berperang’, saya tidak peduli apa yang berlaku di sebelah saya kerana renang adalah sukan yang anda menentang masa anda. Tidak kisah siapa di sebelah anda asalkan anda berenang pada masa terbaik dan berpeluang memenangi pingat emas,” katanya.

Untuk rekod, Arvin memenangi pingat gangsa dalam acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti lelaki bersama-sama Khiew Hoe Yean, Welson Sim dan Keith Lim pada temasya Sukan SEA 2019.

Sementara itu, ketua jurulatih renang negara Chris Martin yakin para perenangnya mampu beraksi lebih baik daripada edisi 2019 yang menyaksikan Malaysia berjaya membawa pulang dua pingat emas masing-masing dalam acara 50m kuak dada dan 100m kuak dada wanita.

“Matlamat kami adalah sentiasa mencuba melakukan lebih daripada sebelum ini, itu sasaran paling bawah… Saya tahu skuad ini akan beraksi lebih baik berbanding temasya lepas tetapi apa yang saya tidak tahu adalah apa yang orang lain (pesaing) lakukan. Saya rasa keputusannya akan positif,” kata jurulatih kelahiran Amerika itu.

Dalam pada itu, Martin menggambarkan Sukan SEA Hanoi adalah pentas terbaik untuk perenang muda negara membuktikan kemampuan mereka selepas lebih dua tahun tidak berpeluang menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here