KUALA LUMPUR, 16 April — Sains dan teknologi negara berkembang maju apabila teknologi baharu robot ular dicipta bagi memenuhi keperluan industri antaranya meliputi bidang perubatan dan geologi.

Empat pensyarah daripada Jabatan Kejuruteraan Mekatronik Kuliyyah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terlibat dengan penciptaan robot itu yang bakal menjadi produk tempatan pertama robot ular untuk dikomersialkan iaitu projek yang bermula pada 2010.

Mereka ialah Prof Dr Amir Akramin Shafie, Prof Dr Raisuddin Khan, Dr Abd Halim Embong dan Prof Madya Dr Siti Fauziah Toha @ Tohara.

Amir Akramin berkata robot itu yang kini berjaya di peringkat skala makmal dicipta untuk digunakan di ruang sempit yang sukar ditembus, dengan memberi contoh sekiranya berlaku kejadian gempa dan mengakibatkan bangunan mahupun terowong runtuh.

Beliau berkata robot itu boleh digunakan di kawasan bencana berkenaan bagi melihat keadaan di situ serta mengukur kedalaman tanah kerana kawasan berkenaan menjadi bahaya kepada manusia serta hidupan liar, selain ke tempat bahaya lain melibatkan radioaktif.

Amir Akramin berkata sasaran penggunaan robot itu adalah untuk pihak industri yang membuat kerja-kerja mengorek, pembinaan terowong, paip, selain tugasan menyelamat melibatkan antaranya polis dan bomba.

“Robot ular ini akan digunakan bergantung kepada keperluan. Kelebihan robot ini adalah kebolehan dalam membawa muatan mengikut keperluan berdasarkan reka bentuk modular, sama ada boleh bawa kamera, sensor untuk radar, tengok suhu dan melihat perbezaan tahap radioaktif, selain kepalanya boleh berputar,” katanya kepada Bernama.

Oleh kerana pergerakan robot itu yang unik, beliau berkata mesin berkenaan sesuai digunakan di kawasan yang sesuatu alat beroda tidak mampu masuk.

Beliau berkata robot itu bukanlah suatu produk yang akan dikeluarkan dengan jumlah yang banyak kerana ia merupakan peralatan khusus mengikut keperluan, sama juga dengan modus operandi negara maju lain yang menggunakan alat tersebut.

“Robot itu juga boleh diubah suai mengikut keperluan penggunanya seperti bagi tujuan kesihatan, robot ular akan dimasukkan ke dalam badan manusia. Sudah pasti bahan yang digunakan pada robot memerlukan material bersesuaian dan mengikut saiz yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata projek yang asalnya daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menerusi program eScienceFund itu ketika ini memerlukan rakan komersial sebagai langkah seterusnya.

Tidak banyak maklumat berkenaan robot itu yang boleh didedahkan ketika ini menurut Amir Akramin, namun beliau berkata penggunaan komersial pertama produk tersebut dijangka pada penghujung tahun ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here