ARAU, 18 April — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah agar pelajar dan warga kerja institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini memanfaatkan bulan Ramadan dengan merancang masa sebaik mungkin.

Baginda bertitah warga IPT perlu merancang jadual kerja supaya amalan yang dilaksanakan mendapat keberkatan tersendiri.

“Tingkatkan semangat dalam bekerja sebagaimana kita bersemangat untuk bersedekah dan beramal bagi mencari keberkatan dalam rezeki yang diperoleh,” titah baginda pada Majlis Iftar Perdana IPT Perlis di Dewan Ilmu Kampus UniMAP di sini malam tadi.

Turut berangkat sama  Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, setiap IPT di Perlis harus menggunakan bidang kepakaran masing-masing bagi membangunkan masyarakat setempat berdasarkan pendekatan inovasi. 

Beliau berkata UniMAP mengalu-alukan IPT dan agensi di negeri ini dalam sebarang bentuk kerjasama dengan universiti itu dalam berkongsi kepakaran bagi membantu dalam aspek pembangunan masyarakat.

 “Sebagai contoh, Projek Diraja Kampung Warna-warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai di Kuala Perlis yang dimulakan sejak Dis 2020  adalah hasil kerjasama pelbagai agensi, institusi pendidikan, badan berunifom, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan yang didokongi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here