KANGAR, 21 April — Para pendakwah dan pengurus masjid di Perlis perlu menjalankan peranan sebagai ejen perpaduan ummah dengan penuh tanggungjawab, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi satu kenyataan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Baginda bertitah keutamaan untuk menjaga perpaduan berdasarkan prinsip kebenaran hendaklah sentiasa dihayati serta menjadi nadi dalam sebarang gerak kerja yang dilaksanakan.

“Sesuatu penyampaian yang ingin dikongsikan kepada masyarakat hendaklah bermanfaat, positif dan membina minda di samping memastikan dahulu akan fakta serta kesahihan kebenarannya, apatah lagi sekiranya ia boleh membawa kepada bibit perpecahan, maka eloklah dielakkan sama sekali,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah majlis itu melalui Pelan Strategik 2021 hingga 2025 telah menyasarkan peranan Jawatankuasa Kariah Masjid termasuk para pendakwah agar bersama MAIPs dalam merealisasikan segala hasrat dan cita-cita ke arah ‘Mengukuh Qiadah, Mengislah Ummah’.

Dalam pada itu, baginda menyerahkan sumbangan MAIPs sebanyak RM21,000 kepada 30 golongan asnaf anak kariah Masjid Salehuddin Al Ayubi, Padang Besar (Utara) baru-baru ini. Mereka menerima RM700 setiap seorang yang diagihkan melalui amil Azemi Mat Saman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata MAIPs mengagihkan ‘Bantuan Khas Kecemasan Masjid MAIPs Tahun 2021’ sebanyak RM1,020,000 kepada 102 kariah, melaksanakan ‘Agihan Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs’ sebanyak RM21,776,386 untuk manfaat golongan asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri dan melaksanakan ‘Agihan Ziarah Dakwah Bil Hal MAIPs’ melalui 102 kariah sebanyak RM594,000.

“Alhamdulillah, semua inisiatif ini dapat dilaksanakan hasil daripada sumbangan penyumbang zakat yang budiman. Semua para penyumbang zakat merupakan insan hebat yang terus menjadi tulang belakang dan kekuatan bagi MAIPs dalam terus berusaha keras bagi menggalas amanah dalam kutipan dan agihan zakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here