PUTRAJAYA, 11 Mei – Malaysia tidak mahu selesa dan akan terus mempertingkatkan pemantauan terhadap aktiviti keganasan walaupun pencapaian dalam Indeks Keganasan Global (GTI) semakin baik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) di sini hari ini, beliau berkata Malaysia berada di kedudukan ke-75 dalam GTI pada 2022 berbanding ke-68 pada 2021, dan pencapaian itu memberi indikasi yang baik terhadap negara.

“Namun langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasaan di semua peringkat akan dipertingkatkan. Ini memperlihatkan yang kita tidak harus selesa… penguatkuasaan akan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

GTI merupakan penarafan automatik bagi negara-negara dunia berdasarkan aktiviti pengganas. Kedudukan yang tinggi menunjukkan negara tersebut adalah lebih baik.

Ahmad Zahid berkata langkah-langkah pencegahan penting perlu diambil bagi mengelak berlakunya keganasan disebabkan perbezaan fahaman politik, ketaksuban agama dan perkauman.

“Masalah psikologi dan rumahtangga juga antara perkara yang sebab keganasan berlaku.

“Dapatan kajian juga mendapati keganasan agama bukan dilakukan orang yang faham agama tetapi dilakukan oleh individu tiada latar belakang agama tetapi ingin jalan singkat masuk syurga,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) diminta merangka satu kokurikulum pendidikan pencegahan keganasan di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta pengajian tinggi.

Beliau berkata PDRM, MKN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah diarahkan supaya melaksanakan pemantauan berterusan mengenai aktiviti keganasan di semua platform media sosial.

Beliau turut memaklumkan beberapa jawatankuasa turut dibentuk bagi mengenal pasti strategi menangani keganasan di negara ini antaranya Jawatankuasa Kawalan Keganasan Kebangsaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here