BEIJING, 9 Mei — Inisiatif pembangunan dan keselamatan global yang dicetuskan Presiden China, Xi Jinping bagi menggalakkan sistem orde antarabangsa yang adil dan rasional tatkala mendepani pelbagai cabaran dunia, mendapat sokongan meluas masyarakat antarabangsa terutama negara di rantau Asia.

Demikian kata Menteri Luar China, Wang Yi semasa mengadakan pertemuan secara dalam talian dengan Naib Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, pada Ahad.

Menurut beliau, pertemuan pemimpin negara BRIC, persidangan pemimpin kerjasama Asia Timur, Sidang Kemuncak Pemimpim G20 dan persidangan tidak rasmi pemimpin APEC akan dianjurkan China, Kemboja, Indonesia dan Thailand mulai Jun depan.

“Pentadbiran global kini memasuki ‘detik Asia’ dan komuniti antarabangsa meletakkan harapan agar Asia dapat memainkan peranan sebagai pemimpin,” kata Wang.

Beliau turut menekankan bahawa China bersedia bersama-sama dengan Kemboja, Indonesia dan Thailand untuk terus berusaha demi keamanan dan pembangunan, mengekalkan multilateralisme, memberi sumbangan sebagai negara Asia dalam menghadapi cabaran global.

Wang berkata kenyataan bersama yang dikeluarkan Kemboja, Indonesia dan Thailand baru-baru ini mengulangi bahawa masyarakat antarabangsa perlu bersatu-padu untuk menghadapi cabaran dan pembangunan terbuka serta inklusif.

“China berpendirian bahawa dunia perlu mendengar suara daripada negara-negara Asia, dan menghormati pendirian Asia.

“Selain itu, China yakin Kemboja selaku pengerusi bergilir akan memainkan peranan yang unik dan membina,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here