SURAT THANI, 10 Nov – Malaysia dan Thailand berminat untuk mengukuhkan kerjasama dalam sektor pelancongan dan pertanian dengan memanfaatkan potensi kedua-dua sektor terbabit, kata Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Jojie berkata pemain industri di wilayah Surat Thani menyatakan hasrat ingin bekerjasama dan berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka.

“Pertanian dan pelancongan adalah pemacu ekonomi utama di Surat Thani. Oleh itu, pihak kedutaan boleh membantu menghubungkan perniagaan Malaysia dan Thailand.

“Saya percaya terdapat potensi besar untuk kerjasama antara Malaysia dan Thailand, khususnya di Surat Thani. Lawatan saya dapat membantu mengembangkan rangkaian dan meneroka kaedah untuk meningkatkan perdagangan,” katanya kepada Bernama.

Jojie melakukan lawatan kerja ke Surat Thani baru-baru ini dan bertemu dengan gabenornya Jedsada Jitrat, Datuk Bandar Prasert Boonprasop dan Presiden Dewan Perniagaan Surat Thani Kasien Laiyakosit.

Beliau turut melawat Ladang Udang Sirichai, Ladang Madavi, Ladang Durian Mega, loji kuasa biojisim, Green Energy Co Ltd dan syarikat logistik, MS North Star Logistics (Thailand) Co Ltd.

Terletak di selatan Thailand, Surat Thani terkenal dengan keindahan pantainya, hutan hujan yang subur dan budaya warisan yang pelbagai.

Sementara itu, sektor pertanian Surat Thani tertumpu pada penanaman ladang kelapa sawit, getah dan buah-buahan seperti durian di samping hasil laut, seperti udang, tiram dan ketam.

Dalam sektor pelancongan, Surat Thani turut menawarkan lokasi bagi pelancongan kesihatan, pengalaman menyelami budaya dan aktiviti pengembaraan seperti merentas hutan dan penjelajahan pulau.

“Lawatan ke Surat Thani memberi peluang kepada saya bertemu dengan pegawai kerajaan tempatan dan pemimpin perniagaan untuk meneroka bagaimana perniagaan Malaysia boleh mengembangkan kehadiran mereka dalam sektor pertanian dan pelancongan.

“Kunjungan itu juga bertujuan mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Thailand seperti yang dibincangkan semasa lawatan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin ke Malaysia ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober,” katanya.

Sementara itu, Kasien berkata lawatan kerja Jojie telah membuka peluang baharu bagi kerjasama antara Surat Thani dan Malaysia dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

“Kami berharap dapat menarik pelaburan daripada syarikat Malaysia dalam sektor pertanian. Kami sedang berusaha untuk meningkatkan dan menambah nilai kepada produk pertanian melalui model ekonomi Bio-Circular-Green (BCG). Syarikat-syarikat Malaysia mempunyai kepakaran dan pengalaman yang diperlukan untuk membantu kami mencapai matlamat,” katanya.

Kasien berkata syarikat Thailand dan Malaysia juga boleh bekerjasama dalam industri halal.

“Malaysia sebagai peneraju dalam pertumbuhan industri halal global boleh berkongsi kepakaran dan pengetahuan untuk membantu Thailand bertapak dalam pasaran itu,” katanya.

Memandangkan perjalanan melalui jalan raya adalah cara mudah bagi rakyat Malaysia melawat selatan Thailand, beliau mencadangkan agar pemain industri pelancongan meneroka kaedah untuk menarik minat konvoi motosikal kuasa besar dan kumpulan karavan Malaysia melawat Surat Thani melalui jalan darat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here