PUTRAJAYA, 18 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri di sini.

Kehadiran Ismail Sabri pada kira-kira 1.30 tengahari itu disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria. 

Antara tetamu yang hadir adalah Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. 

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, ketua-ketua setiausaha serta ketua-ketua jabatan.

Ismail Sabri yang lengkap berbaju melayu berwarna ‘peach’ dan bersamping meluangkan masa kira-kira sejam di majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 tetamu dan jemputan.

Beliau turut meluangkan masa melawat ke gerai-gerai juadah majlis sambutan Aidilftri JPM itu yang berkonsepkan ‘Semarak Aidilfitri, Keluarga JPM Dirai’.

Perdana Menteri kemudiannya menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Beliau yang tiba di majlis itu pada kira-kira 2.40 petang disambut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan meluangkan masa kira-kira 40 minit di majlis berkenaan.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan majlis itu ialah Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Abdul Rahman, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok antara tetamu yang turut hadir ke majlis itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here