BEIJING, 19 Mei — Nahas pesawat China Eastern yang mengorbankan kesemua 132 penumpang dan anak kapal pada Mac lalu, dipercayai sengaja dilakukan. 

 Memetik laporan Wall Street Journal, pasukan penyiasat yang mengendalikan siasatan nahas pesawat itu, sedang meneliti sama ada insiden itu berpunca daripada tindakan yang disengajakan di atas dek penerbangan.

Menurut dua individu yang diberi taklimat mengenai perkara tersebut, ini kerana setakat ini, tiada bukti menunjukkan berlaku kerosakan teknikal.    

Terdahulu, Wall Street Journal dengan memetik individu biasa dengan penilaian awal pegawai Amerika Syarikat (AS) melaporkan data penerbangan dari satu kotak hitam Boeing 737-800 menunjukkan bahawa seseorang di dalam kokpit sengaja menyebabkan pesawat itu terhempas. 

Bagaimanapun, pengeluar pesawat, Boeing Co dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS enggan mengulas dan merujuk soalan kepada pengawal selia China.

Pesawat China Eastern MU5375 yang dalam penerbangan dari Kunming ke Guangzhou pada 21 Mac lalu secara tiba-tiba menjunam dari ketinggian 29,000 kaki ke lereng gunung sehingga mengorbankan semua orang di dalamnya.

Nahas itu disifatkan sebagai tragedi penerbangan paling dahsyat di China dalam tempoh 28 tahun.

Menurut pihak berkuasa, juruterbang tidak menjawab panggilan berulang daripada pengawal trafik udara dan pesawat berhampiran semasa kejadian.

Seorang sumber memberitahu penyiasat Reuters bahawa mereka sedang melihat sama ada nahas itu adalah tindakan sukarela.

Pada April lalu, Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) memaklumkan pasukan penyiasat tidak menemukan sebarang bukti berlaku `insiden tidak normal’ berdasarkan laporan diserahkan oleh Boeing.

CAAC menerusi kenyataan berkata, kakitangan penerbangan memenuhi protokol keselamatan sebelum berlepas dan pesawat itu juga tidak membawa muatan barangan berbahaya.

Malah, jelas CAAC, cuaca adalah baik pada hari kejadian. – REUTERS 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here