KUCHING, 24 Mei — Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Radio Television Malaysia (RTM) Sarawak akan membuat cubaan mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records menerusi bermukun, acara tradisional Melayu Sarawak yang menggabungkan tarian dan berbalas pantun diiringi persembahan gendang dan biola.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata program ‘Juh Bermukun 76 Jam Tanpa Henti’ itu akan bermula pada 5 petang Jumaat ini di Auditorium P Ramlee di sini dan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 30 Mei ini.

Bercakap dalam sidang media bagi mempromosikan program itu di sini hari ini, Abdul Karim berkata acara itu juga bersempena ulang tahun Hari RTM ke-76 dan 100 hari kementeriannya.

“Seramai 76 peserta mukun terlibat dalam persembahan Juh Bermukun dengan penyertaan bukan sahaja melibatkan peserta mukun di seluruh Sarawak tetapi juga dari Sabah dan Labuan,” katanya.

Beliau berkata kesemua saluran radio RTM Sarawak menyiarkan acara terbabit secara lintas langsung  pada masa yang sesuai di saluran masing-masing dan secara langsung di Saluran TV1 menerusi Saluran Berita Semasa, Selamat Pagi Malaysia serta saluran radio seperti SARAWAKfm, WAIfm dan REDfm.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here