KUALA LUMPUR, 1 Jun — Bermula 1 Julai ini, kerajaan tidak lagi akan memberi subsidi kepada penternak ayam sebaliknya ia akan disalur secara langsung kepada rakyat yang dianggap lebih memerlukan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi memastikan bebanan kenaikan harga ayam tidak terlalu dirasai dengan adanya sumbangan tunai daripada kerajaan.

Perdana Menteri berkata sebelum ini dalam usaha memastikan harga ayam tidak dinaikkan, kerajaan memberi subsidi kepada penternak agar harga ayam kekal pada paras RM8.90 sekilogram kerana ia boleh mencecah RM12 sekilogram, jika harganya diapungkan. 

“Kerajaan belanja RM720 juta bagi memastikan harga ayam tidak dinaikkan. Walau bagaimanapun, ramai dalam kalangan penternak tidak menuntut bayaran subsidi dan pelbagai isu dibangkitkan,” katanya ketika berucap di Konvensyen BN bersempena sambutan ulang tahun ke-48 gabungan politik itu di sini hari ini. 

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee akan memperinci pengumuman baharu itu. 

Beliau berkata kerajaan melaksanakan pelbagai tindakan buat masa ini bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga dapat distabilkan. 

Antaranya menggalakkan kegiatan industri agromakanan seperti pemeliharaan ayam dan tanaman jagung bijirin dengan menubuhkan tabung agromakanan sebanyak RM500 juta bagi pemberian pinjaman mudah kepada pemain industri.

“Kita juga akan kenal pasti pertubuhan peladang atau koperasi yang terlibat dalam projek agromakanan untuk dibantu dari segi kewangan.

“Kerajaan juga mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan. Kerajaan turut mengkaji insentif cukai yang akan diberikan kepada pemain industri agromakanan,” katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga telah menghentikan eskport ayam ke luar negara dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan dalam negara. 

Pada sidang media selepas itu, Ismail Sabri berkata langkah itu adalah berikutan kurangnya tuntutan yang dibuat dalam kalangan penternak.

“Ini kerana daripada kira-kira RM700 juta subsidi yang disediakan kepada penternak, tidak sampai 10 peratus penternak membuat tuntutan subsidi yang diberikan kerajaan selama ini. Jadi kita nampak ada sedikit masalah di situ dan ini tidak menyelesaikan masalah.

“Ramai menjual (pada) harga RM8.90 (sekilogram) tetapi tak dapat subsidi. Jadi ini membebankan penternak kecil-kecilan serta peniaga. 

“Kalau mereka (penternak dan peniaga) nak naikkan harga tidak berani kerana akan diambil tindakan oleh KPDNHEP. Jadi, bagi kita yang terbaik (ialah) beri (subsidi) terus kepada rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here