BEIJING, 1 Jun — Setelah langkah pencegahan dan kawalan wabak COVID-19 berjaya  dilaksanakan secara rutin, operasi pengeluaran dan kehidupan rakyat di Shanghai kini kembali pulih seperti biasa, menurut pihak berkuasa Shanghai dalam satu sidang media, pada Selasa.

Justeru itu, Shanghai akan menjalankan pengurusan secara berstruktur.

“Sebagai contoh, sekiranya kes positif dilaporkan, kami akan menggariskan kawasan berisiko sederhana dan tinggi mengikut piawaian negara dan mengambil langkah kawalan yang ketat.

“Bagi kawasan yang ditutup, penduduknya dilarang keluar masuk dan akan diberi perkhidmatan pintu ke pintu oleh pekerja di kompleks perumahan,” menurut pihak berkuasa itu. 

Untuk kawasan yang tiada kes positif selama tujuh hari, statusnya akan ditukarkan kepada ‘kawasan pengawasan’ dan diturunkan lagi kepada status ‘kawasan pencegahan’ jika tiada kes baharu selama tiga hari berturut-turut.

Individu yang menggunakan pengangkutan awam dan mengunjungi tempat awam perlu menunjukkan keputusan negatif ujian swab (NAT) dalam tempoh 72 jam.

Mulai hari ini, pengangkutan awam, perkhidmatan bas dan kereta api bawah tanah telah beroperasi seperti biasa sepenuhnya manakala penerbangan domestik beroperasi dengan kadar muatan penumpang yang terhad.

Sektor perniagaan, operasi di pusat beli-belah, pasar raya, kedai runcit dan farmasi pula akan menjalani pemulihan secara teratur, dengan bilangan pelanggan dihadkan kurang daripada 75 peratus.

Selain itu, tempat kebudayaan dan pelancongan serta stadium terbuka kini telah beroperasi semula, dengan jumlah pengunjung tidak melebihi 75 peratus, manakala tempat tertutup seperti panggung wayang dan gimnasium masih ditutup buat sementara waktu.

Sementara itu, sektor pengeluaran sudah beroperasi sepenuhnya manakala sesi pembelajaran untuk pelajar gred tiga dan dua di sekolah menengah tinggi serta gred tiga di sekolah menengah rendah disambung semula.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here