KUALA TERENGGANU, 26 Jun — Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu dan Jabatan Penjara Malaysia Marang hari ini, berkolaborasi mengadakan program latihan kerjasama kemahiran pembuatan produk kraf dalam penghasilan batik, tembaga dan songket.

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu Fazlin Mohamad Zaki berkata buat permulaan, seramai 13 kakitangan iaitu empat kakitangan Penjara Marang dan sembilan kakitangan Kraftangan Malaysia, terpilih menyertai program latihan tersebut.

“Dua kakitangan Penjara Marang akan mengikuti latihan kemahiran pembuatan batik blok dan dua orang lagi dalam bidang tembaga menggunakan teknik penuangan lilin yang dikendalikan oleh tenaga pengajar Kraftangan Malaysia. 

“Sembilan kakitangan Kraftangan Malaysia pula akan mempelajari penghasilan ‘Songket Dua Wajah’ hasil inovasi Penjara Marang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Songket Dua Wajah ialah inovasi baharu, yang mempunyai dua permukaan reka corak berbeza di depan dan belakang, yang memberi kelebihan kepada pemakai untuk menggayakan songket yang berbeza pada sehelai kain.

Program latihan itu akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga Khamis (30 Jun).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here