KUALA LUMPUR, 5 Julai — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melaksanakan beberapa pendekatan dan program dalam usaha mengurangkan impak kos kenaikan harga barangan bagi membantu mahasiswa.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata bagi tujuan itu pihak universiti melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) bersama Kesatuan Mahasiswa UKM telah mengenal pasti pelajar kurang berkemampuan daripada golongan B40.

Beliau berkata antara yang dilaksanakan termasuk Program Sumbangan Food@Campus hasil inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan pemberian kupon atau baucar makanan yang dikhaskan kepada kumpulan pelajar B40.

Selain itu menurutnya Program Bakul Makanan Sihat yang menyaksikan pemberian pelbagai barangan keperluan asas secara percuma kepada lebih 8,000 pelajar kurang berkemampuan turut digerakkan.

“UKM juga menyediakan inisiatif (tanggungan penuh/sebahagian) dengan memperkenalkan pakej makanan serendah RM3.50 untuk harga sepinggan nasi, lauk dan sayur yang dikhaskan kepada kumpulan pelajar B40 yang telah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Pemantauan secara berkala juga dilakukan pengetua kolej penginapan bagi memastikan makanan yang disediakan sentiasa berkualiti dan menyihatkan,” tambahnya.

Semalam Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata KPT komited untuk memastikan bantuan berterusan diberikan kepada mahasiswa melalui pelbagai inisiatif.

Ia termasuk pelaksanaan moratarium bayaran sewa selama enam bulan yang diberikan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus institusi pengajian tinggi (IPT) awam mulai bulan ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ekhwan berkata pelajar terlibat akan dibantu melalui tabung bantuan pelajar serta melalui Pusat Zakat UKM, dan mereka yang terkesan serta memerlukan bantuan, boleh berhubung dengan pusat itu bagi permohonan bantuan.

“Untuk inisiatif ini, dianggarkan RM4.5 juta bantuan umum pelajaran termasuk sara hidup bagi tahun 2022 telah diperuntukkan bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara. Untuk rekod, Pusat Zakat UKM juga telah memberikan bantuan kepada pelajar dengan jumlah keseluruhan mencecah RM5,613,276,” katanya.

Selain itu beliau berkata UKM melalui kolej penginapannya juga telah bersetuju untuk terus memastikan harga makanan di kafetaria kolej tidak terlalu mahal dan berpatutan.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu pengusaha-pengusaha kafetaria di dalam kampus sekali gus dapat menyerap kos peningkatan harga makanan dan minuman,” katanya.

Mohd Ekhwan berkata sepanjang tempoh 2021, pihak HEP UKM telah mengagihkan bantuan bakul makanan kepada 4,107 orang pelajar, dengan jumlah sumbangan mencecah RM204,610, manakala pada tahun 2020 pula, bantuan sebanyak RM979,089 telah diagihkan kepada 4,028 orang pelajar.

Beliau berkata UKM turut menyalurkan beberapa bantuan seperti Bantuan Umum Pelajaran 2021 & 2022 yang berjumlah RM4,815,200, Bantuan Insentif Kecemerlangan (RM107,600) dan Bantuan Khas Pelajar Baharu Sem 1 Tahun 1 (RM203,000).

Turut diberikan adalah Bantuan Sokongan Pengajian yang berjumlah RM56,015, Bantuan Mobiliti (RM33,000), Bantuan Musibah (RM68,500), Bantuan Perubatan (RM12,561) dan Bantuan Komputer Riba (RM317,400), kata beliau.

Beliau seterusnya berharap lebih banyak sumbangan daripada para alumni dan badan-badan korporat diperoleh, bagi menambah bantuan terutama kepada mahasiswa daripada keluarga B40. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here