PUTRAJAYA, 6 Julai — Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan semakan kehakiman yang dikemukakan bekas ahli DAP Hew Kuan Yau untuk membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan buku komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin membenarkan rayuan Hew dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakimannya.

Hakim Ravinthran, yang menyampaikan keputusan mahkamah, memberikan Hew, yang dikenali dengan nama samarannya “Superman Hew”, perintah certiorari untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri untuk mengharamkan buku itu serta perintah mandamus yang mengkehendaki Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulangkan salinan buku itu yang telah dirampas.

Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah berpendapat bahawa permohonan Hew untuk pengisytiharan untuk membatalkan Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang larangan itu dikeluarkan, atas alasan ia bertentangan dengan perlembagaan, tidak mempunyai merit. 

Sementara itu, panel yang diketuai oleh Hanipah itu, mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya Hew membayar kos RM5,000. Beliau juga menganugerahkan kos RM1,000 kepada Hew untuk prosiding di Mahkamah Rayuan. Keputusan itu disampaikan secara dalam talian.

Hew memfailkan permohonan mendapat kebenaran untuk memulakan permohonan semakan kehakiman pada 26 Nov 2019. Beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan larangan buku dan perintah mandamus supaya KDN memulangkan salinan buku yang telah dirampas.

Dalam permohonannya yang menamakan Menteri Dalam Negeri, KDN, Jabatan Peguam Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden, Hew turut memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan adalah tidak berperlembagaan dan harus diisytiharkan batal dan tidak sah.

Pada 6 Jan 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada Hew untuk meneruskan semakan kehakiman.

Permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan perintah pengharaman oleh Menteri Dalam Negeri dan warta Peguam Negara (AGC) berhubung perintah itu yang bertarikh 23 Okt 2019.

Pada 26 April tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin menolak permohonan Hew untuk semakan kehakiman itu yang menyebabkannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hew, adalah pengarang bersama buku komik yang diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina. Perintah pengharaman itu untuk ketiga-tiga bahasa.

Buku itu didakwa bermaksud mengagung-agungkan China serta Inisiatif Jalur dan Jalan, sementara dunia Barat diberi gambaran negatif.

Peguam J. Shamesh dan Vince Tan Hoo Seh mewakili Hew manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Peguam Persekutuan Ng Wee Li bagi pihak responden.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here