TUMPAT, 11 Julai — Kegembiraan menyambut Hari Raya Aidiladha bertukar duka buat 200 penduduk di enam kampung di sini, selepas rumah mereka rosak dalam kejadian ribut malam kelmarin.

Kejadian antara pukul 6.30 petang hingga 8 malam itu melibatkan Kampung Alor Tar, Kampung Bendang Kerian, Kampung Kelong, Kampung Tanjung Kuala, Kampung Belukar Berangan dan Pulau Teluk Renjuna.

Berkongsi detik cemas itu kepada Utusan Malaysia, seorang mangsa, Saodah Ibrahim,70, berkata, kejadian tersebut berlaku dengan pantas apabila bumbung di bahagian ruang tamu rumahnya tercabut diterbangkan ribut.

Katanya, ribut kuat bersama hujan lebat disusuli dengan dentuman guruh membuatkannya dan cucu berusia tujuh tahun bersembunyi di bahagian dapur.

“Kejadian itu berlaku dengan cepat dan saya hanya mampu berdoa sambil memeluk cuci yang berada dalam keadaan takut serta terkejut.

“Perasaan sedih itu ada, memandangkan persiapan untuk menyambut Aidiladha sudah dibuat. Bila dah ditimpa musibah, saya tetap meneruskan ibadah korban dan mengagihkan daging tanpa mengadakan jamuan di rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Tar, di sini semalam.

Seorang lagi mangsa, Mustafar Hamat, 63, berkata, kejadian itu menyebabkan bengkel motosikal miliknya ranap di hempap pokok besar yang tumbang.

Katanya, kejadian itu menyebabkan lima buah motosikal milik pelanggannya mengalami kerosakan.

“Saya belum sempat memberitahu pemilik motosikal tersebut. Buat masa ini memberikan fokus untuk kerja-kerja membersihkan halaman rumah.

“Lagipun tahun ini, anak dan cucu pulang menyambut lebaran bersama-sama,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd. Adnan Hassan berkata, setakat ini dia menerima laporan 40 buah rumah rosak dari penghulu dalam kejadian ribut berkenaan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here