KOTA BHARU, 1 Julai — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan sedang mengesan seekor harimau belang yang keluar dari kawasan hutan dan melanggar sebuah kenderaan di Machang semalam.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, operasi bersepadu terus digerakkan oleh Perhilitan Kelantan sejurus menerima aduan tersebut.

“Kita mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pengguna kenderaan yang melalui kawasan tersebut.

“Kita tidak menolak kemungkinan harimau tersebut agresif dan keluar untuk mencari makanan,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Hafid memberitahu, jantina harimau tersebut tidak dikenal pasti dan berkemungkinan usianya sudah melebihi 10 tahun.

Katanya, Perhilitan belum pernah menerima sebarang aduan berkiat dengan kehadiran binatang buas di jajahan tersebut .

“Pesan saya kepada penduduk kampung atau orang awam, jika terserempak dengan binatang buas itu supaya melaporkan segera kepada pihak berkuasa,” ujarnya.

Utusan online semalam melaporkan seorang pemandu berdepan detik cemas apabila terlanggar seekor harimau belang yang melintas secara mengejut di Jalan Tok Bok-Selising, Machang.

Kejadian pukul 11.24 malam itu dirakam oleh kamera hadapan yang terdapat pada kenderaan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here