BANGKOK, 11 Julai — Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken berkata implikasi akibat operasi ketenteraan Rusia di Ukraine mungkin menyumbang kepada kemelut di Sri Lanka serta menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia.

“Kami menyaksikan kesan akibat operasi ketenteraan Rusia di mana-mana. Ia mungkin telah menyumbang kepada situasi terkini di Sri Lanka.

“Kami berusaha untuk menangani implikasi itu, termasuk menyediakan sumber yang besar untuk menangani keperluan kemanusiaan seperti krisis makanan serta melabur dalam pengeluaran jangka panjang dan pertumbuhan mampan, agar negara itu mampu menghasilkan makanan yang mereka perlukan,” katanya pada sidang media di sini sebelum mengakhiri lawatannya ke Thailand.

Blinken memperbaharui gesaannya agar Rusia membenarkan sekitar 20 juta tan bijirin Ukraine untuk dieksport keluar sejak Moscow melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine pada Februari.

“Apa yang kita lihat di seluruh dunia sekarang adalah peningkatan krisis makanan yang telah diburukkan lagi dengan krisis di Ukraine.

“Kita mengalami krisis baja sehingga memberi kesan kepada Thailand susulan harganya melambung tinggi. 

Ini amat ketara terutama di negara berasaskan pertanian seperti Thailand kerana jika ketiadaan baja, hasil pertanian pada tahun depan akan berkurangan, dan harga makanan akan meningkat,” katanya.

Sementara itu, Blinken menggesa para pemimpin Sri Lanka mencari jalan penyelesaian jangka panjang untuk menangani masalah negara itu.

“Kami menggesa ahli Parlimen Sri Lanka menzahirkan komitmen untuk memajukan negara, bukan demi kepentingan mana-mana parti politik.

“Adalah menjadi kewajipan kerajaan, sama ada kerajaan baharu yang dipilih berdasarkan perlembagaan, atau kerajaan sedia ada, untuk berusaha mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian demi kestabilan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa berkata beliau akan meletak jawatan pada 13 Julai selepas penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya pada Sabtu susulan pergolakan semakin meruncing di negara itu. 

Pada hari yang sama Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe juga mengumumkan peletakan jawatannya selepas penunjuk perasaan bertindak membakar kediaman perdana menteri.

Sementara itu, Blinken mengutuk sebarang keganasan terhadap penunjuk perasaan dan wartawan di negara itu.

“Rakyat Sri Lanka mempunyai hak untuk bersuara secara aman. Pada masa sama, kami menggesa siasatan penuh, penahanan, pendakwaan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam sebarang serangan berkaitan protes dan tindakan keganasan,” katanya.

Lawatan Blinken ke Thailand adalah sebahagian daripada rangka lawatannya ke rantau itu termasuk menghadiri mesyuarat Menteri Luar G20 di Bali, Indonesia pada Rabu.

Selepas Thailand, Blinken dijadual berkunjung ke Tokyo, Jepun, untuk mengucapkan takziah atas kematian bekas Perdana Menteri Abe Shinzo dan bertemu dengan pegawai kanan Jepun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here