KUALA LUMPUR, 7 Mei – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 adalah terbuka kepada semua syarikat pertahanan global.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan bebas memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.

“Justeru Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Khalid berkata Kementerian Pertahanan mengambil maklum terdapat desakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia.

“Tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia.

“Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled DSA dan NATSEC Asia 2024 juga adalah satu pameran yang dianjurkan pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya pihak penganjur.

“Kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam penganjurannya,” katanya.

Beliau berkata objektif penganjuran pameran berkenaan sangat jelas iaitu menyediakan ruang kepada semua pihak mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan dan membolehkan kerajaan pelbagai negara dan pemain industri global meneroka pelbagai teknologi dan inovasi termaju.

Ia juga menurutnya tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu, sebaliknya dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Turkiye, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Iran, Bosnia & Herzegovina serta Pakistan.

“Selain negara-negara Islam, pameran ini turut menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here