KUANTAN, 17 Julai — Rakyat Malaysia yang berada di Sri Lanka diingatkan supaya tidak menyertai atau mendekati sebarang perhimpunan atau protes terutama menjelang pemilihan presiden baharu di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata meskipun keadaan di Sri Lanka sudah kembali aman dan tenteram, warganegara Malaysia masih perlu menjaga keselamatan masing-masing. 

“Malawakil ( pejabat perwakilan Malaysia) menjangkakan situasi akan terkawal selepas ini bagaimanapun kita terus berjaga-jaga dan mengingatkan rakyat Malaysia di Sri Lanka jaga keselamatan.

Kita juga minta rakyat supaya sentiasa berhubung dengan Malawakil dan kalau dengar khabar angin dan sebagainya jangan percaya, sahkan dahulu dengan Malawakil,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Taekwondo MGTF Bagi Sekolah Dan Kelab Negeri Pahang 2022 di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata setakat ini seramai 126 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat dengan sebilangan daripada mereka telah pulang ke tanah air secara sukarela. 

Beliau berkata kementerian belum bercadang untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia setakat ini bagaimanapun bersedia mengambil tindakan itu pada bila-bila masa. 

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan pergolakan di Sri Lanka berlaku akibat krisis kewangan paling teruk dengan negara itu gagal membayar balik hutang luar berjumlah US$51 bilion (RM226 bilion) dan kini mengadakan rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi mendapatkan bantuan. 

Presiden Gotabaya Rajapaksa telah mengumumkan peletakan jawatan beliau selepas penunjuk perasaan yang marah menyerbu kediaman presiden.

Mengulas mengenai peristiwa pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine genap lapan tahun hari ini, Saifuddin berkata Malaysia berpegang kepada prinsip tidak menyalahkan mana-mana negara sehingga proses kehakiman selesai. 

“Kita sedar ada pihak yang ingin mengheret atau menuduh pihak tertentu sejak awal peristiwa itu, tetapi Malaysia sejak dahulu berpegang teguh kepada prinsip undang-undang iaitu siasatan dan penghakiman telus mesti dilaksanakan terlebih dahulu.

Sehingga hari ini belum ada keputusan dan kerana itu pendirian Malaysia tidak berubah meskipun ada pihak mendesak kita buat kenyataan sebaliknya tetapi Kerajaan Malaysia istiqamah selagi tak ada bukti jelas dan siasatan belum selesai kita tetap berpandu kepada proses yang dilaksanakan kini,” katanya. 

Menurut Saifuddin, beliau berharap siasatan peristiwa itu dapat diselesaikan segera demi keadilan terutamanya kepada keluarga mangsa. 

Pesawat Boeing 777 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine dan mengorbankan 298 penumpang termasuk 43 warganegara Malaysia. 

Sementara itu ketika ditanya mengenai pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, beliau berkata lazimnya Wisma Putra tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang pelantikan ketua perwakilan Malaysia dengan nama atau individu dilantik hanya akan diketahui pada hari penyerahan watikah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here