KUALA LUMPUR, 18 Julai — Keputusan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan nisbah 80:20 bagi kuota pekerja tempatan kepada pekerja asing dalam sektor pembuatan memberi kelegaan kepada komuniti perniagaan, kata sekumpulan pemain industri.

Dalam satu kenyataan hari ini, pemain industri terdiri daripada 51 organisasi, persatuan perdagangan dan dewan perniagaan, memuji keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menangguhkan syarat itu selama dua tahun sejak penarikan balik pembekuan pengambilan pekerja asing mulai 15 Feb 2022.

Ia berkata, komuniti perniagaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, terkesan dengan peraturan 80:20 itu kerana pengilang serta pembekal, vendor, kontraktor dan pelanggan mereka adalah sebahagian daripada rantaian bekalan yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna.

“Pelaksanaan peraturan ini telah memberi kesan kepada keupayaan industri kami untuk memenuhi pesanan jualan mereka dan memenuhi kewajipan mereka sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global.

“Ia telah menjejaskan dengan ketara keupayaan industri untuk meningkatkan kapasiti operasi serta mengembangkan operasi untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat,” kata Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai bagi pihak komuniti perniagaan.

Kekurangan tenaga kerja telah menyebabkan syarikat mengalami kelewatan dalam memenuhi penghantaran barangan, tunggakan yang besar, kehilangan pelanggan sedia ada dan kehilangan perniagaan yang berpotensi, katanya.

“Perniagaan juga kini berada di bawah tekanan yang besar untuk membendung kos operasi tinggi yang semakin mencabar berikutan tekanan inflasi yang semakin meningkat.”

Komuniti perniagaan juga mengulangi bahawa proses untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui automasi sudah berlaku, tetapi ia adalah proses berperingkat yang mesti terus disokong oleh kerajaan.

“Ia juga harus diakui bahawa tidak semua jawatan buruh tradisional boleh digantikan dengan automasi, dan oleh itu, akan terus ada permintaan untuk buruh bagi memenuhi keperluan tenaga kerja ini.

“Oleh itu, permintaan untuk pekerja tidak boleh disamakan dengan kurangnya usaha oleh industri untuk beralih kepada automasi,” kata Soh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here