BANGKOK, 18 Julai — Subvarian baharu Omicron menyebabkan kesan bahaya kepada paru-paru sama seperti varian Delta sebelum ini.

Bagaimanapun, seorang pakar dari Hospital Siriraj di Thailand memaklumkan subvarian baharu itu masih menyerang kumpulan paling terdedah termasuk golongan tidak divaksinasi dan tidak menerima vaksin lengkap.

Ketua Jabatan Penyakit Pernafasan dan Tuberkulosis di Hospital Siriraj, Dr. Nithipat Jearakul berkata, daripada jumlah pesakit yang menerima rawatan Covid-19, kira-kira 800 orang mengalami jangkitan paru-paru iaitu mencatatkan lapan peratus daripada semua kes kemasukan ke hospital.

Lapor Bangkok Post, jumlah lapan peratus itu mewakili penurunan lima kali ganda daripada kadar jangkitan paru-paru 30 hingga 40 peratus yang disebabkan oleh varian Delta sebelum ini.

“Namun, dari segi tahap keseriusan, jangkitan semasa dan yang disebabkan oleh Delta tidak begitu berbeza,” kata Nithipat.

Menurut Nithipat, jangkitan paru-paru kini kebanyakannya memberi kesan pada `kumpulan 608′ iaitu golongan berumur 60 tahun dan ke atas, individu yang mempunyai penyakit sebelum ini dan wanita hamil.

Katanya, jangkitan paru-paru turut menjejaskan individu yang hanya menerima satu atau dua dos vaksin atau tidak menerima vaksinasi.

Jelas beliau, sebilangan kecil pesakit mengalami jangkitan paru-paru dilaporkan mempunyai rekod menerima suntikan dos penggalak.

“Memperoleh suntikan dos penggalak yang mencukupi boleh menghalang kes kemasukan ke hospital dan kematian,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pusat Virologi Klinikal di Jabatan Pediatrik Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn, Dr. Yong Poovorawan berkata, subvarian Omicron BA.5 bertanggungjawab atas peningkatan kes Covid-19.

Katanya, kes itu dijangka memuncak pada akhir bulan ini dan kekal tinggi pada bulan depan sebelum mula menurun semasa musim cuti sekolah akan datang.

Sementara itu, timbalan jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek berkata, kes meningkat walaupun kebanyakan pesakit berada dalam kumpulan `hijau’ dengan mempunyai gejala ringan seperti demam, kehilangan deria bau dan rasa sementara, sakit tekak, batuk dan hidung berair.

Individu yang diuji positif selepas melakukan ujian antigen dinasihatkan berjumpa dengan doktor di bawah program insuran kesihatan mereka.

“Mereka yang tidak mengalami gejala Covid-19 yang serius dinasihatkan untuk menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari.

“Sekiranya, individu berada dalam kumpulan 608, doktor akan menjalankan pemeriksaan lanjut mengenai keadaan mereka,” jelas laporan itu.

Pejabat Keselamatan Kesihatan Kebangsaan Thailand (NHSO) menambah perkhidmatan teleperubatan yang mana penduduk dijangkiti Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah boleh menerima konsultasi jarak jauh.

Perkhidmatan itu juga boleh mengagihkan ubat percuma termasuk antiviral Favipiravir terus ke rumah mereka sekiranya perlu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here