SHAH ALAM, 28 Julai — Penganjuran program Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 2022 dilihat tepat pada masanya ketika negara dan seluruh dunia giat memperkasakan ilmu teknologi dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) khususnya di era pasca COVID-19.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah program seumpama ini harus berterusan dengan penglibatan pelbagai pihak bagi melahirkan pemimpin masa hadapan secara tersusun dan terancang. 

“Kita perlu melahirkan pemimpin masa hadapan mengikut acuan kita sendiri, iaitu berasaskan nilai, adat dan budaya kita serta pada masa yang sama boleh berperanan di peringkat antarabangsa,” titah baginda pada Sesi Titipan Titian Kasih sempena program MFLS Tier 3 2022 anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan di sini Rabu.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker. 

Titah baginda dalam konteks pembentukan pemimpin masa hadapan beberapa perkara perlu diberi perhatian seperti hidup berperaturan, takut dan patuh kepada Tuhan, berintegriti serta memahami degup jantung rakyat dan organisasi yang dipimpin kelak.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah ini bagi memastikan barisan pemimpin yang dilahirkan nanti mempunyai sifat kepimpinan yang unggul dengan lima perkara perlu diberi perhatian terutamanya keupayaan memimpin diri sendiri.

“Pemimpin juga perlu memimpin dengan ilmu, kesediaan melakukan perubahan, mempunyai keterbukaan serta menjadi pemimpin beradab,” titahnya.

MFLS Tier 3 dilaksanakan secara bersemuka sepenuhnya bermula pada 16 hingga 30 Julai lepas, melibatkan 150 pelajar berusia antara 15 dan 18 tahun yang merupakan kalangan peserta terbaik program MFLS Tier 2 pada 2019, 2020 dan 2021.

Objektif utama program MFLS Tier 3 adalah berdasarkan tujuh elemen iaitu kepimpinan, kenegaraan, pembentukan watak dan jati diri, keusahawanan, kesukarelawanan, komunikasi dan pengantarabangsaan.

Pelbagai pengisian diadakan antaranya Bicara Tokoh, Bicara Ikon, Bicara Kenegaraan, Bicara Jati Diri, aktiviti kesukarelawanan, lawatan institusi, perbahasan ala parlimen dan komunikasi berimpak tinggi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here