KOTA BELUD, 30 Julai — Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, perlu dilakukan bagi memastikan kestabilan politik di negeri itu terjamin.

Persiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembentangan itu wajar dilakukan, kerana perbuatan melompat parti turut berlaku di DUN Sabah dan bukan hanya di peringkat Parlimen.

“Semestinya (perlu dibentangkan di DUN Sabah) kerana ini (lompat parti) juga berlaku di peringkat DUN (Sabah), banyak melompat (parti) sehingga perubahan kerajaan,” katanya Ahli Parlimen Semporna itu kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Kota Belud di sini hari ini.

Pada Khamis lepas (28 Julai), RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan dengan memperoleh sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sbah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata partinya turut menggesa kerajaan Sabah yang diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), supaya segera membentangkan RUU itu di peringkat negeri.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata RUU yang telah diluluskan Dewan Rakyat itu masih memerlukan penambahbaikkan terutama daripada segi isi kandungan yang perlu lebih jelas, bagaimanapun ia suatu permulaan baik bagi mengekang perbuatan melompat parti.

Sehubungan itu, beliau berkata Warisan akan meneliti dan memperhalusi perlembagaan parti itu bagi memastikan perjuangan parti itu selari dengan RUU tersebut dan Perlembagaan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here