IPOH, 1 Ogos — Sebuah pesawat ringan terhempas di tepi jalan raya berhampiran Sungai Rokam, Medan Gopeng, di sini malam ini.

Kejadian dipercayai melibatkan dua mangsa namun identiti mereka belum dikenal pasti.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sudah ke lokasi kejadian bagi siasatan lanjut.

Beberapa gambar dan video yang menunjukkan pesawat berwarna biru dan putih itu terjunam serta sebahagian pesawat mengalami kerosakan tular menerusi media sosial.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 8.10 malam.

Beliau berkata sehubungan itu, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh digegaskan ke lokasi bagi operasi menyelamat.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati sebuah pesawat ringan telah terhempas dan terdapat dua orang mangsa. Kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati seorang daripada mangsa berjaya dikeluarkan dari pesawat itu dan kemudian dibawa menaiki ambulans.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here