KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Cadangan untuk mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah di negara ini merupakan antara perkara yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Pengerusi JKMR Tan Sri Dr Rais Yatim berkata ia bagi memastikan negara mempunyai kepakaran serta kejituan bagi mengendalikan sebuah mahkamah yang khusus untuk menangani masalah rasuah.

“Perlunya Mahkamah Anti Rasuah atau Mahkamah mengenai rasuah diwujudkan secara khusus dari (peringkat) Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dengan hakim-hakim yang berkepakaran dan tidak ditukar ganti mengikut musim. 

“Kami telah kemukakan perkara ini dan ia salah satu daripada cabaran besar dan mendapat perhatian kerajaan,” katanya kepada media selepas menyerahkan Buku Laporan Tahunan JKMR Tahun 2020 setebal 22 muka surat kepada Ismail Sabri di bangunan Parlimen, hari ini.

Penyerahan buku laporan tersebut selaras dengan Seksyen 14(5) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan JKMR perlu menyediakan dan menyerahkan laporan tahunan mengenai penunaian fungsi Jawatankuasa Khas kepada Perdana Menteri.

Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata cadangan lain ialah supaya kerajaan memberi perhatian serius kepada masalah kehilangan barang kes disebabkan kecurian dan sebab lain.

Selain itu, ketidakseragaman tindakan dalam menguatkuasakan penggunaan pakaian berwarna oren kepada tertuduh jenayah rasuah memandangkan sesetengah pihak dikenakan pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala ada yang dibenarkan memakai pakaian formal termasuk sut dan tali leher. 

Rais berkata isu lain yang dibangkitkan JKMR adalah berhubung hal-hal disiplin dalaman SPRM serta tahap keyakinan rakyat terhadap suruhanjaya itu yang perlu dipertingkatkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here