LONDON, 6 Ogos — Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA), semalam memaklumkan terdapat ‘tanda-tanda awal’ wabak cacar monyet sedang melanda seluruh negara dan penularannya sudah perlahan.

“Walaupun data terkini menunjukkan pertumbuhan wabak sudah perlahan, kita tidak boleh leka,” kata pengarah klinikal dan jangkitan baharu UKHSA, Dr Meera Chand.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu dalam satu kenyataan, berkata terdapat 2,859 kes cacar monyet yang disahkan dan berkemungkinan tinggi di UK setakat 4 Ogos, dengan hampir 99 peratus kes dalam kalangan lelaki.

Katanya, analisis UKHSA baru-baru ini, menunjukkan ‘cacar monyet terus tersebar terutama dalam rangkaian seksual saling berhubungan gay, biseksual atau lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki’.

Pihak berkuasa Britain Jun lalu mengesyorkan lelaki gay dan biseksual yang berisiko tinggi terdedah kepada cacar monyet ditawarkan vaksin, berikutan wabak penyakit virus itu semakin meningkat, kebanyakannya di Eropah.

Dr Chand berkata, individu yang berisiko tinggi untuk terkena cacar monyet ditawarkan vaksin cacar.

Awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet sebagai ‘kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan di peringkat antarabangsa’, iaitu tahap amaran tertinggi oleh badan itu.

Susulan langkah WHO, Amerika Syarikat (AS) turut mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam Khamis lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here