PUTRAJAYA, 10 Ogos — Permintaan buruh Malaysia menyaksikan peningkatan 3.2 peratus pekerjaan dalam suku kedua 2022 atau 267,000 pekerja, merekodkan 8.619 juta pekerjaan dalam tempoh tersebut, berbanding 8.352 juta pada tempoh sama tahun lepas. 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Survei Guna Tenaga Suku Tahunan yang diterbitkan hari ini, jumlah jawatan yang diisi ialah 8.427 juta dengan kadar jawatan diisi adalah 97.8 peratus.

Menurut survei tersebut jumlah kekosongan jawatan adalah sebanyak 191,000, berbanding 178,000 jawatan pada suku yang sama 2021 dengan kadar 2.2 peratus, manakala bilangan jawatan yang diwujudkan meningkat kepada 29,400 dalam suku tersebut, berbanding 16,180 jawatan pada suku terdahulu.

DOSM berkata lebih separuh daripada jawatan dan jawatan yang diisi pada suku kedua 2022 adalah dalam sektor perkhidmatan iaitu 4.476 juta, manakala sektor pembuatan merekodkan 2.358 juta jawatan dan 2.251 juta jawatan diisi.

Jabatan itu berkata sektor pembuatan mencatatkan sumbangan terbesar bagi kekosongan jawatan pada 55.9 peratus, diikuti pertanian (16.1 peratus), sektor perkhidmatan (16 peratus), pembinaan (11.8), manakala perlombongan dan pengkuarian pada 0.2 peratus.

DOSM berkata sektor perkhidmatan merekodkan pewujudan jawatan tertinggi dengan 52.5 peratus atau 15,400 jawatan, diikuti sektor pembuatan dengan sumbangan 30.6 peratus atau 9,000 jawatan dan pembinaan pada 11.8 peratus atau 3,400 jawatan.

Dari segi sumbangan mengikut kategori kemahiran pula, jabatan itu berkata jawatan dalam kategori separuh mahir mencatatkan sumbangan tertinggi iaitu 62.2 peratus, diikuti kategori mahir pada 24.9 peratus, manakala 12.9 peratus direkodkan dalam kategori berkemahiran rendah.

Pada suku tersebut, bilangan jawatan diisi dalam kategori mahir adalah 2.094 juta jawatan, iaitu peningkatan sebanyak 72,000 jawatan, berbanding 2.022 juta jawatan direkodkan dalam suku sama tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here