KUCHING, 22 Ogos — Tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Batu Lintang walaupun penyandangnya See Chee How yang memenangi kerusi itu atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) meninggalkan parti itu, baru-baru ini.

Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata beliau tidak dapat menentukan sama ada tindakan See telah menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai ADUN berdasarkan Perkara 17(7)(a) Perlembagaan Sarawak.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Speaker DUN itu berkata beliau telah menerima surat daripada Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh pada 15 Ogos yang memohon untuk melucutkan kelayakan See sebagai ADUN dan menyertakan Surat Aku Janji yang kononnya ditandatangani oleh See.

Di bawah Perkara 17(7)(a), untuk membolehkan mana-mana Surat Aku Janji itu berkuat kuasa, ia mesti diberikan secara bertulis kepada Speaker Dewan sebelum seseorang yang dipilih meletak jawatan daripada parti yang diwakilinya dalam pilihan raya.

“Surat Aku Janji yang kononnya ditandatangani oleh YB See Chee How pada 3 Dis 2021 disimpan oleh PSB selama lapan bulan, 12 hari. Dalam kes ini, saya tidak dan tidak pernah menerima sebarang Surat Aku Janji secara bertulis daripada YB See Chee How,” kata Mohamad Asfia.

Mohamad Asfia berkata beliau menyerahkan kepada See untuk bertanding di kawasan mana sepperti dalam Surat Aku Janji yang kononnya dibuat ADUN itu dengan PSB sebelum bertanding sebagai calon parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas, adalah secara sukarela atau sebaliknya.

See yang menyandang kerusi Batu Lintang sejak 2011 dan mempertahankan kerusi itu di atas tiket PBS pada PRN ke-12, meletak jawatan dalam parti itu menerusi surat yang diterima Speaker pada 12 Ogos lepas, turut menyatakan beliau akan kekal sebagai ADUN bebas.

Berikutan pengumuman oleh Mohamad Asfia pada 14 Ogos mengenai peletakan jawatan See, Wong berkata See harus meletakkan jawatan sebagai ADUN selepas meninggalkan parti.

Wong berkata berdasarkan Surat Aku Janji lisan dan bertulis yang dibuat See sebelum dipilih sebagai calon parti pada pilihan raya negeri lalu, See juga terpaksa membayar pampasan kepada parti jika memilih untuk meletakkan jawatan selepas memenangi kerusi itu sebagai calon PSB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here