KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Selepas 12 tahun menyertai perarakan Hari Kebangsaan, bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Mohd Yusof Omar masih setia menghadiri sambutan hari bersejarah di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini. 

Mohd Yusof, 67, menyertai perarakan di bawah dua pasukan iaitu Pasukan F Cawangan Khas PDRM Hanya Yang Berani dan Skuad 69 PDRM kerana semangat patriotiknya sentiasa mengingatkan kembali pengorbanan pejuang kemerdekaan dahulu menabur bakti kepada negara. 

Beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan merupakan detik yang dinantikan setiap tahun untuk melihat kemeriahan dengan pelbagai perarakan serta persembahan yang telah diatur dan setiap tahun ia akan menampilkan kelainan berdasarkan tema sambutan yang ditetapkan. 

“Pak cik berarak untuk Hari Kebangsaan sudah lebih kurang 12 tahun, ada masa ikut perarakan, ada masa pak cik di pentas sebagai tetamu jemputan untuk perarakan,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata khidmatnya bersama PDRM dalam pasukan cawangan khas hampir 40 tahun, menyumbang kepada semangat cintakan negara dan patriotik dalam dirinya untuk terus berarak pada Hari Kebangsaan demi negara tercinta. 

“Setiap kali sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos adalah satu detik yang paling dinanti-nantikan disebabkan sambutan setiap tahun sangat meriah dengan pelbagai persembahan dan acara menarik yang disediakan,” katanya. 

Menurutnya, tahun ini beliau tidak mengikuti perarakan kerana akan hadir sebagai jemputan khas untuk menerima Pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) PDRM di Dataran Merdeka esok. 

Beliau sebelum ini pernah menerima JPP yang dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada 1989. 

“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, pak cik berasa amat seronok kerana melalui perarakan di Hari Kebangsaan ini, kita dapat menunjukkan kebersamaan sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu dan dapat membangkitkan semangat patriotik cintakan negara serta keamanan. 

“Kita juga dapat bertemu sahabat kita daripada cawangan lain yang turut sama memegang senjata seperti ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan PDRM cawangan lain,” katanya. 

Beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan tahun ini istimewa kerana perarakan dan persembahan dapat diadakan selepas dua tahun negara bertarung dengan pandemik COVID-19 dan rakyat Malaysia dapat berkumpul semula bagi menyemarakkan sambutan hari bersejarah itu. 

Tema sambutan tahun ini ialah Keluarga Malaysia Teguh Bersama dan teras utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here