KUALA LUMPUR, 9 Sept — Kementerian Pertahanan komited dalam menjaga kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan terbaharu ia menyelesaikan kajian dalaman di peringkat kementerian untuk membolehkan pelaksanaan pemberian Elaun Kenangan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata selain itu kementerian juga telah memajukan kepada Kementerian Kewangan cadangan untuk meluluskan kenaikan Bantuan Sara Hidup kepada veteran ATM tidak berpencen di bawah kategori B40 daripada RM300 sebulan kepada RM400 sebulan.

Kementerian berharap perkara itu mendapat pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan yang sewajarnya, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan menaikkan elaun Veteran ATM itu dibuat dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan keperluan menampung perbelanjaan seharian.

“Ini bermakna bahawa antara kemahuan Veteran ATM, dua telah selesai dipenuhi, dua lagi telah selesai kajian di peringkat kementerian. Ia tidak akan terhenti di sini.

Kementerian sentiasa berusaha bertungkus lumus demi membela kebajikan Veteran ATM dengan sebaik mungkin. Perkembangan dan hasil usaha ini akan saya umumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Julai lepas Hishammuddin mengumumkan dua penambahbaikan sekali gus memenuhi dua daripada lima kemahuan utama Veteran ATM iaitu penambahbaikan pencen terbitan dan panel penasihat bagi mempertimbangkan permohonan bekas tentera untuk diiktiraf sebagai Veteran ATM. Kedua-duanya kini dilaksanakan.

Beliau berkata bagaimanapun semua kemahuan Veteran ATM tidak hanya melibatkan perancangan di peringkat kementerian, tetapi turut melibatkan perihal kewangan dan pentadbiran awam yang memerlukan pertimbangan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Saya akan terus berhubung dengan Menteri Kewangan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dari semasa ke semasa bagi memastikan harapan kita ini dapat dipenuhi,” katanya. 

Hishammuddin turut mengingatkan Veteran ATM yang belum mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) supaya segera mendaftar agar setiap inisiatif dan bantuan yang dilaksanakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here