KUALA LUMPUR, 29 Sept  — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan koir Universiti Teknologi MARA, UiTM Chamber Choir (UCC), atas kejayaan mereka menjuarai dua pertandingan koir peringkat antarabangsa.

Turut menzahirkan ucapan tahniah, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

UCC menjuarai Pertandingan Koir Antarabangsa Pau Casals ke-11 di Barcelona, Sepanyol pada 24 Sept dan Piala Grand Prix Pertandingan Koir Antarabangsa Isola Del Sole ke-10, di Grado, Itali, hari ini.

“Semoga dilimpahi kecemerlangan berterusan,” menurut ucapan tahniah Seri Paduka berdua yang dikongsi menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini.

Menurut laman web UiTM, UCC mengungguli dua anugerah utama dan muncul juara keseluruhan di Barcelona selepas mencatat markah tertinggi untuk memenangi tempat pertama (Excellent Golden Diploma) dalam ketiga-tiga kategori iaitu ‘Folklore’ (lagu rakyat atau budaya) (100 markah), ‘Mixed Voice’ (Koir Campuran) (99.3 markah) dan ‘Pablo Casals Composition’ (97.8 markah).

UCC yang terdiri daripada 23 mahasiswa juga memenangi juara keseluruhan pertandingan berdasarkan undian juri.

Sementara itu, UCC dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan pasukan itu turut memenangi tempat pertama bagi kategori Koir Campuran di Itali.

Pasukan itu pernah mencipta kemenangan di peringkat antarabangsa seperti di Bali, Indonesia pada 2015, Rom di Itali (2017), Torun di Poland dan Wernigerode di Jerman pada 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here