KUALA KRAI, 7 Okt — Lebih 100 pekebun kecil getah di Kampung Batu Mengkebang, di sini, menarik nafas lega apabila bakal menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM800 tahun depan.

Mohd Sekeri Mat Shah, 63, berkata jumlah kenaikan sebanyak RM200 berbanding RM600 sebelum ini dapat membantu mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat terutama ketika musim tengkujuh.

“Apabila musim tengkujuh berlaku, rata-rata pekebun kecil getah ini memang tidak dapat menoreh getah kerana faktor cuaca, jadi apabila BMT ditingkatkan ia sedikit sebanyak dapat membantu kami untuk membeli barangan dapur dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

Mardiana Mahmud, 45, pula berkata BMT yang diberikan kerajaan itu akan digunakan secara cermat dan berhemah supaya dapat menampung keperluan perbelanjaan sepanjang musim tengkujuh.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, berkata BMT kepada pekebun kecil getah negara ini dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini.

Peruntukan RM256 juta itu akan diberikan RM200 sebulan selama empat bulan dan akan memanfaatkan 320,000 pekebun kecil.

Sebelum ini dalam Bajet 2022, pemberian BMT sebanyak RM600 yang disalurkan melalui dua peringkat iaitu RM300 pada November 2022 dan RM300 pada Disember 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here