KUALA LUMPUR, 8 Okt — Ketua Bahagian UMNO Ketereh Tan Sri Annuar Musa memuji tindakan PAS yang terus mengekalkan hasrat mencari kesepakatan antara parti itu dengan UMNO dan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Setiausaha Agung UMNO berkata tindakan PAS itu menepati maksud serta panduan syariah dalam mencari kebaikan dan menolak kemudaratan yang lebih besar.

“Ia terus membuka pintu perundingan dan perbincangan. Begitu juga UMNO. Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) telah membuka kunci permuafakatan kerana hati kecilnya dan para pemimpin mahukan umat yang bersatu.

“Kita sememangnya diperintahkan Allah agar berpegang teguh pada tali Allah dan tidak bercerai-berai. Teruskanlah usaha kerana di mana ada daya di situ ada jaya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hari ini berkata parti itu berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan antara ketiga-tiga parti teras Melayu terbabit seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15.

Presiden PAS itu berkata ia termasuk syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here