KUALA LUMPUR, 8 Okt — Jabatan Penjara Malaysia akan memastikan insentif serta peruntukan yang diumumkan dalam Bajet 2023 dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasa dan memantapkan lagi perkhidmatan koreksional jabatan itu. 

Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad berkata peruntukan itu menunjukkan  keprihatinan kerajaan dalam menjayakan agenda Transformasi Penjara bagi memastikan dua pertiga penghuni menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030.

“Ini selari dengan matlamat Jabatan Penjara Malaysia untuk menjadi Pusat Pembangunan Ketamadunan Budaya Kemanusiaan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini. 

Beliau berkata selain imbuhan kepada penjawat awam, peruntukan dan insentif yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam membuktikan kerajaan sentiasa memandang serius kebajikan serta perlaksanaan program pemulihan menerusi pemberian insentif terbabit. 

Kerajaan telah mengumumkan Inisiatif AgroPenjara berjumlah RM10 juta untuk aktiviti pertanian dan perladangan melibatkan 70 hektar tanah Jabatan Penjara Malaysia dan potongan cukai tambahan kepada majikan yang menggaji bekas banduan dipanjangkan kepada bekas penghuni Sekolah Henry Gurney.

Jabatan itu turut memperoleh peruntukan RM18 juta yang merangkumi pembelian alat pengimbas badan dan menaik taraf fasiliti membabitkan lima penjara antaranya Penjara Seremban di Negeri Sembilan.

Sebanyak RM28 juta juga diperuntuk bagi meneruskan pembinaan kuarters di bawah Jabatan Penjara yang meliputi Pusat Koreksional Labuan dan Akademi Koreksional Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here