BACHOK, 9 Okt — Sebanyak 7,615 projek pembangunan akan dilaksana tahun depan merangkumi 1,724 projek baharu dan 5,891 projek sambungan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata pelaksanaan projek pembangunan mengikut jadual amat penting bagi memenuhi aspirasi Keluarga Malaysia ke arah menikmati taraf sosioekonomi yang lebih baik. 

“Pada 13 Okt ini, saya dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali akan mempengerusikan mesyuarat Pemudah Cara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara bagi memastikan semua kementerian bersedia dengan pelan pelaksanaan masing-masing dan semua isu dapat diselesaikan segera,” katanya.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan para peserta program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Kampung Golok di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara contoh projek pembangunan baharu yang diluluskan dalam Bajet 2023 ialah penambahbaikan kemudahan infrastruktur di luar bandar, Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B di Sabah, menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Senai Utara-Pandan (Johor Bahru) kepada enam lorong dan rancangan tebatan banjir di seluruh negara.

“Aset kerajaan juga perlu disenggara secara berkala dengan baik bagi memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa dalam keadaan baik untuk meningkatkan kualiti penyampaian. 

“Antara peruntukan untuk projek menaik taraf dan penyelenggaraan aset kerajaan termasuklah jalan negeri, jalan persekutuan, sekolah serta institusi pendidikan lain, aset Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Mustapa berkata peruntukan pembangunan bagi bajet tahun depan adalah yang tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM95 bilion dengan peningkatan RM19.4 bilion atau 25.7 peratus berbanding RM75.6 bilion pada 2022.

“Bagi mengurangkan jurang pembangunan wilayah, kerajaan juga telah memperuntuk 50.3 peratus perbelanjaan pembangunan asas kepada enam negeri yang kurang membangun bagi melaksanakan projek termasuk infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan.

“Sebanyak RM6.3 bilion diperuntuk kepada Sabah dan RM5.4 bilion kepada Sarawak iaitu lebih tinggi berbanding peruntukan pada 2022,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here