KUALA LUMPUR, 10 Mei – Kemampanan penting dalam era mengurangkan risiko global ini, terutamanya dalam menangani isu perubahan iklim, tetapi ia tidak boleh digunakan untuk menyekat perdagangan bebas.

Sehubungan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa prasyarat hijau tidak boleh digunakan sebagai halangan bukan tarif atau menjadi mekanisme imperialisme ekologi zaman moden.

“Ini menjadi asas kepada rundingan kami sama ada secara sendiri atau bersama-sama dengan Indonesia, Kesatuan Eropah,” katanya dalam ucapan pada Dialog Singapura mengenai Sumber Dunia Lestari (SWR) ke-11 di Singapura.

Tengku Zafrul berkata Malaysia telah dan akan terus mengekalkan pendirian dan keyakinannya seperti dalam standard pengeluaran minyak sawit mampan selain mengingatkan pihak lain tentang tanggungjawab mereka terhadap prinsip peralihan (iklim) yang adil.

Beliau turut berkongsi mesej jelas bahawa Malaysia mahu kekal sebagai negara perdagangan terbuka untuk semua dan tidak akan dipaksa untuk memilih antara mana-mana kuasa besar yang bersaing di kawasan sekitarnya, walaupun berkecuali tidak bermakna berdiam diri.

“Sebaliknya, perlu ada ketegasan dalam pendekatan tersebut. Konsep Malaysia MADANI dan Rangka Kerja Ekonomi MADANI, menekankan kepentingan nilai dalam apa yang kita lakukan.

“Saya percaya ini penting berikutan kita memerlukan suara dan pandangan kita diambil kira,” tegasnya.

Beliau turut percaya bahawa negara-negara ASEAN perlu bekerjasama untuk mendapatkan lebih banyak pembiayaan kapasiti mengurangkan risiko berkaitan perubahan iklim daripada negara-negara maju untuk kelangsungan masa depan rantau ini.

“Saya ingin menekankan bahawa Malaysia sememangnya serius dalam menggalas jawatan sebagai pengerusi ASEAN pada 2025.

“Kami mahu memastikan bahawa kami mencapai Priority Economic Deliverables (PED) yang tepat untuk menerajui era pertumbuhan baharu ASEAN, memastikan peralihan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang adil dan membina suara yang lebih kuat untuk melindungi kepentingan perdagangan, industri dan pelaburan ASEAN di pentas global,” katanya.

Beliau berkata walaupun Malaysia telah melangkah jauh daripada pengeksport komoditi kepada sebuah negara perdagangan yang pelbagai, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan keselamatan dan keterangkuman ekonomi untuk rakyat Malaysia, dan seterusnya, rakyat ASEAN.

Tengku Zafrul berkata perjalanan itu tidak akan mudah dengan terdapat cabaran yang perlu diatasi melalui keputusan dasar yang sukar.

“Misalnya, kita perlu memastikan kumpulan bakat kita dapat memenuhi aspirasi ini.

“Kemahiran yang diperlukan untuk seiring dengan trend ini berbeza daripada yang biasa kita lakukan – sama ada dalam kerajaan atau perniagaan,” katanya.

Oleh itu, katanya kerjasama dan sokongan daripada Singapura, jiran terdekat Malaysia dan antara rakan ekonomi utama negara adalah penting.

Pada sesi Q&A, beliau menyatakan harapannya untuk terus meningkatkan hubungan ekonomi dua hala dan pelbagai hala antara negara-negara di rantau ini dalam sektor ‘hijau’ baharu dan memastikan keselamatan tenaga yang lebih baik untuk ASEAN.

Dari aspek kerajaan, katanya MITI dan agensi berkaitannya akan terus membantu mengukuhkan hubungan ekonomi dengan Singapura dan negara-negara ASEAN yang lain, terutamanya dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here