GENEVA, 13 Okt — Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva dan pertubuhan antarabangsa lain di Switzerland, Chen Xu membentangkan pendirian dan cadangan China dalam isu pelarian serta sumbangannya kepada usaha melindungi pelarian antarabangsa dan hal ehwal kemanusiaan.

Chen Xu berkata jumlah pelarian dan orang hilang tempat tinggal di seluruh dunia mencecah 100 juta buat kali pertama pada tahun 2022 sehingga menimbulkan banyak cabaran baharu kepada keselamatan dan pembangunan sejagat.

Justeru itu, beliau berkata China mengesyorkan kerjasama melibatkan semua pihak untuk menyahut cabaran berkenaan serta menyokong peranan PBB dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dalam menyelaras usaha menangani isu pelarian selain menghulurkan bantuan kemanusiaan.

“China turut mencadangkan pelaksanaan Perjanjian Global tentang Isu Pelarian dengan tindakan yang substantif di samping bersama-sama menyempurnakan sistem perlindungan pelarian sejagat,” katanya ketika berucap di sesi ke-73 Jawatankuasa Eksekutif Agensi Pelarian PBB di sini pada Isnin. 

Menurut Chen, memandangkan negara membangun telah menerima pelarian melebihi 80 peratus jumlah keseluruhan sejagat, negara maju sepatutnya menunaikan ikrar mereka untuk membantu termasuk memberikan lebih banyak sokongan kepada pelarian dan negara yang menerima pelarian.

“Masyarakat antarabangsa dan UNHCR perlu mengekalkan prinsip “tidak mempolitikkan” isu berkaitan pengurusan pelarian,” katanya.

Mengenai pencapaian dan sumbangan China, Chen Xu berkata China amat mementingkan kerjasama antarabangsa dalam isu pelarian dan sentiasa melibatkan diri dalam penyelesaian isu secara konstruktif.

“Contohnya, China mendorong kerjasama melawan wabak COVID-19 di arena antarabangsa dengan membekalkan 2.2 bilion dos vaksin kepada lebih 120 buah negara dan pertubuhan antarabangsa.

“China juga menghulurkan bantuan kepada UNHCR dan sejumlah negara termasuk Afghanistan, Sultan Selatan, Iraq, Ukraine dan Myanmar melalui kerjasama dua hala atau pelbagai hala.

“Melalui “Tabung Pembangunan Sejagat dan Kerjasama Selatan-Selatan”, China menyokong dan membantu negara Afrika mengawal serta mencegah wabak COVID-19 sehingga menyumbang kepada usaha melindungi pelarian dan tindakan kemanusiaan di sebalik penularan wabak itu,” katanya.

Sehubungan itu, China akan terus mengeratkan kerjasama dengan UNHCR dan masyarakat antarabangsa untuk memainkan peranan lebih penting dalam menangani isu pelarian sejagat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here