KUALA LUMPUR, 16 Okt — Para pekerja diseru memanfaatkan program saringan kesihatan yang ditawar secara percuma di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa dalam keadaan baik, terutama berkaitan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ini menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan memandangkan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dengan pelaksanaan arahan Bekerja Dari Rumah dan Perintah Kawalan Pergerakan, ia sedikit sebanyak merencatkan aktiviti sukan dan riadah, sekali gus mengurangkan tahap kecergasan warga kerja.

Menurutnya, berdasarkan statistik Perkeso pada tahun 2021, seramai 16,906 pekerja telah dilaporkan mengalami hilang upaya atau meninggal dunia akibat NCD, contohnya tekanan darah tinggi, penyakit jantung atau diabetes.

“Selain itu, analisa daripada Program Saringan Kesihatan (HSP) Perkeso juga mendapati sebanyak 60.9 peratus pekerja mempunyai tahap kolestrol tinggi, 35.2 peratus pula mengalami masalah obesiti, 27.3 peratus menghidap darah tinggi dan 9.5 peratus pekerja menghidap diabetes.

“Masalah obesiti jika tidak dikawal, boleh mengundang kepada pelbagai masalah kesihatan lain yang serius,” katanya sempena Perkeso Run & Ride 2022 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal.

Acara tahunan berkenaan yang diadakan sejak 2015 dan terpaksa dihentikan pada 2020 dan tahun lepas disebabkan pandemik COVID-19 disertai kira-kira 3,000 peserta kali ini dalam acara larian dan kayuhan basikal.

Saravanan berkata program ini merupakan antara sebahagian daripada aktiviti pencegahan dan promosi kesihatan pekerja dianjurkan Perkeso, selain aktiviti pemakanan sihat, pengurusan berat badan, saringan kesihatan, berhenti merokok dan penjagaan kesihatan mental. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here