PUTRAJAYA, 18 Okt — Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, bersedia dan berhasrat mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika diputuskan sebagai calon UMNO.

“Sebenarnya ramai, bukan saya sahaja (ingin jadi calon). Kalau kita ada keinginan untuk berkhidmat maka ada keinginan untuk menjadi calon.

“Itu keinginan tetapi sama ada jadi calon mewakili parti, partilah akan menentukan bukan kita,” kata Ketua UMNO Ketereh itu sambil menjelaskan kedudukan itu hanya akan diputuskan oleh “Top Five’ UMNO.

Beliau berkata demikian  dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di kemdenteriannya di sini, hari ini.

‘Top Five’ merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Okt lalu  untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada PRU14 lepas, Annuar, yang mewakili Barisan Nasional (BN), mengekalkan kerusi Parlimen Ketereh apabila menang dengan majoriti 4,626 undi mengalahkan calon PAS, Allahyarham Wan Ismail Wan Jusoh dan Pakatan Harapan (PH), Datuk Dr Radzi Jidin.

Annuar berkata UMNO Ketereh telah melaksanakan gerak kerja di semua peringkat bagi menghadapi PRU15.

“Dari segi kesiapsiagaan, saya percaya UMNO dan BN berada di barisan hadapan dari segi gerak kerja dan sebagainya. Kita mempunyai acuan kerja dan kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang telah lama kita amalkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here