KUCHING, 18 Okt — Ada gabungan politik dari Semenanjung yang telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata bagaimanapun buat masa ini GPS masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

“Bila kita kacak (cantik atau kuat) semua orang nak (bekerjasama). Ada (yang berminat untuk kerjasama), tetapi kita akan tunggu dulu. (Sekarang ini masih) bergerek (bercinta) belum diputuskan, tunang pun belum lagi,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di sini, hari ini Abang Johari berkata GPS bakal mengeluarkan manifestonya sendiri bagi PRU15 yang memberi fokus kepada pembangunan negeri Sarawak.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata semua kawasan Parlimen yang bakal ditandingi GPS juga sudah diputuskan dalam kalangan parti-parti komponen.

GPS merupakan gabungan parti dianggotai PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Pada 10 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas untuk membincang dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 Khamis ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here