KANGAR, 22 Okt — Kejayaan Barisan Nasional (BN) Perlis menawan 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta dua daripada tiga Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak meletakkan gabungan politik itu dalam keadaan selesa.

Setiausaha Perhubungan BN negeri Azizan Sulaiman berkata sebaliknya BN perlu terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan pada PRU15, 19 Nov nanti.

Mengakui landskap politik hari ini kian rumit malah cabaran pilihan raya kali ini yang berkemungkinan bakal menyaksikan pertembungan lebih tiga penjuru di kebanyakan kerusi, beliau berkata berikutan itu, anggota parti dituntut supaya bersatu padu dan tidak berpecah belah kerana tindakan sebaliknya hanya akan melemahkan parti.

“Walaupun gabungan pembangkang tidak mempunyai asas kukuh di Perlis, BN tidak memandang remeh perkara ini dan bersiap siaga untuk menghadapi musuh yang bercita-cita untuk menawan negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Azizan yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perlis turut menafikan dakwaan wujudnya dua kem di dalam BN negeri membabitkan penyokong Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan penyokong Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Kita bergerak sebagai sebuah keluarga dan semua wakil rakyat memberi kerjasama serta akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya yang merupakan penyandang kerusi DUN Santan.

Pada PRU14, BN menang di Parlimen Padang Besar dan Arau serta 10 DUN iaitu Bintong, Kayang, Tambun Tulang, Simpang Empat, Pauh, Mata Ayer, Chuping, Santan, Beseri dan Titi Tinggi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lepas menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRU15 adalah pada 5 Nov, hari mengundi pada 19 Nov manakala hari pengundian awal pada 15 Nov.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here