ALOR SETAR, 22 Okt — Gerakan Tanah Air (GTA) menyasarkan untuk bertanding di 10 kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 Nov ini, demikian kata Timbalan Pengerusi Penaja GTA Datuk Seri Muhkriz Mahathir.

Mukhriz yang juga Presiden Pejuang berkata kerusi yang disasarkan gabungan politik itu ialah kerusi luar bandar yang kebanyakannya kawasan kuat UMNO dan PAS.

Bagaimanapun, beliau berkata GTA masih membuat penilaian terhadap beberapa kerusi yang hendak ditandingi berdasarkan beberapa kriteria sebelum memuktamadkan sama ada akan meletakkan calon atau tidak pada PRU nanti.

“Kita lihat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi, antara lain sentimen sesuatu kawasan itu terhadap suasana politik masa kini dan apa pendirian mereka (penduduk kawasan itu) berkenaan dengan GTA.

“Kemudian jumlah ahli keseluruhan parti dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam GTA, adakah kita mempunyai jentera yang terlatih untuk melakukan kerja-kerja kempen dan sebagainya dan adakah kita mempunyai calon yang sesuai,” katanya dalam sidang media di sini.

GTA merangkumi Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) and Parti Ikatan India Muslim Nasional (Iman).

Penyandang kerusi Parlimen Jerlun itu berkata walaupun tidak mempunyai jentera parti yang besar seperti gabungan parti lain, GTA mempunyai jentera mencukupi untuk menghadapi PRU15 selain calon yang akan diketengahkan terdiri daripada mereka yang dikenali di kawasan ditandingi.

Mengulas mengenai kerjasama dengan gabungan parti politik lain, Mukhriz berkata pihaknya bersedia mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti pada pilihan raya umum nanti.

Katanya, terdapat dua kaedah bagi GTA untuk membentuk kerjasama politik iaitu menyertai gabungan parti politik atau melakukan pakatan pilihan raya bagi mengelakkan pertindihan calon di sesuatu kerusi.

Beliau berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan gabungan parti politik tertentu untuk melihat sama ada kerjasama boleh dilaksanakan ataupun tidak.

“Kita tidak kisah sangat dengan mana satu (PH atau PN), tapi setakat ini saya ingat adalah sedikit respons positif daripada PN, dengan PH itu saya baru dengar yang (Pengerusi Penaja GTA) Tun Dr Mahathir (Mohamad) buat kenyataan menerusi video itu (semalam) yang dia pun terbuka kalau PH nak berbincang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here