TANAH MERAH, 24 Okt — Pasangan suami isteri warga asing ditahan selepas cuba menyeludup keluar barangan kawalan melalui pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Azman Ismail berkata pasangan berumur 30-an itu ditahan penguat kuasa agensi berkenaan yang melaksanakan Op Bersepadu bersama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula 8 pagi hingga 6 petang.

“Semasa operasi, kenderaan dinaiki oleh kedua-dua suspek berada dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan itu menemukan 530 kilogram (kg) tepung gandum bernilai RM1,272.

“Pemeriksaan turut menemukan minyak masak paket 1 kg berjumlah 102 kg bernilai RM255,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata susulan penahanan itu, kenderaan dinaiki suspek bernilai RM80,000 turut dirampas.

“Kedua-dua suspek telah direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis (27 Okt) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM2 juta bagi perbadanan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here