PUTRAJAYA 31 Okt — Terdapat penyandang kerusi Parlimen tidak dicalonkan semula untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila PAS mengumumkan calonnya untuk bertanding di lebih 60 kerusi Rabu ini, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata penyandang yang tidak dicalonkan semula itu telah diberitahu lebih awal dan mereka menerima dengan hati terbuka. 

PAS kini menyandang 17 kerusi Parlimen.

“Bukan mereka tak bagus, kesemua 17 Ahli Parlimen PAS berkhidmat dengan baik tapi kita mahu beri peluang kepada muka baharu, itu perkara biasa dalam parti,” kata Takiyuddin, yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, kepada pemberita selepas majlis pengumuman Program Tenaga Hijau Korporat di sini hari ini. 

Takiyuddin yang mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu berkata beliau percaya tidak ada yang merajuk atau bertindak di luar batasan jika tidak tercalon semula.

“Dalam PAS kita berebut, bukan berebut kerusi, tapi berebut nak berundur (dari bertanding),” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon (5 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here